Pernah dulu saya menulis suatu artikel kenaan mendoakan orang lain. Secara ringkasnya, dalam artikel itu, saya mengajak para pembaca untuk melazimkan mendoakan kebaikan buat manusia lain umumnya, dan kepada sesama muslim khususnya. Saya memberikan analogi diri yang terlewat bangun untuk ke kerja mahupun kuliah, dan jalan pula menjadi sesak terlampau dek kerana kereta seseorang yang rosak di tengah jalan raya.Apa yang patut kita lakukan dalam kondisi sedemikian adalah mendoakan kebaikan dan kemudahan buat si mangsa, dan bukannya mencaci cela dia kerana telah mengganggu hari anda. Benar bukan, sebagai orang yang menjadi mangsa keadaan (dan bukannya orang yang ditimpa kecelakaan),ia lebih mudah sebenarnya untuk membisikkan doa buat yang diuji dengan musibah itu.
Namun, tidak saya rangkumkan dalam artikel itu, bagaimana keadaannya bilamana kita adalah orang yang ditimpa kecelakaan atau diuji itu.Jika ditakdirkan kereta kita yang rosak di tengah jalan, kita sendiri juga telah lewat untuk melaksanakan urusan kita pada hari itu. Tambah lagi, perlu pula kita mencuba untuk baiki kereta itu, sementara menunggu bantuan tiba, yang kebarangkalian besar akan menunda kereta kita ke workshop berdekatan. Kemudian, perlu pula diselesaikan isu-isu insurans, bayaran perkhidmatan, mencari kereta ganti untuk digunakan pada hari itu dan sebagainya…hari kita jauh lebih buruk dari para pengguna jalan raya lainnya yang paling lambat pun, barangkali akan terlewat satu jam untuk ke destinasi masing-masing. Jadi, dalam keadaan ini, apakah mungkin untuk kita membisikkan doa untuk para pengguna jalan raya lainnya, moga-moga hari mereka dipermudahkan sebagai ganti kepada kesesakan jalan raya yang terpaksa mereka tempuhi gara-gara kereta kita yang rosak?
Sejujurnya, saya juga sedang mencari jawapan kepada persoalan ini.
Tempoh hari, saya pergi kerja seperti biasa.Saya seronok hari itu, kerana tengahhari itu, saya ada janji temu dengan seorang sahabat yang amat saya sayangi. Tiba waktu rehat tengahhari, saya bertemu dengan sahabat saya ini, dan kami pergi makan di salah sebuah restoran berdekatan tempat kerja saya. Kami borak-borak, persis dua sahabat yang telah lama tidak bertemu.Dia menceritakan kepada saya tentang perkembangan dan perubahan di university kami.Saya pula bercerita kepadanya perkembangan saya di tanah air.
Usai makan, sahabat saya memberitahu bahawa dia ada sesuatu yang ingin dikhabarkan. Bila diberitahu sebegitu, saya seperti sudah dapat agak apa yang ingin disampaikan. Iyalah, berita apa lagi yang suspennya sebegitu bukan? Benar seperti sangkaan (walau saya tetap juga meragui sangkaan itu), sahabat tersayang saya ini mengumumkan bahawa dia sudah bertunang dan akan walimah pada sekian sekian waktu.
Saya sangat tahu, bahawa seharusnya berita ini suatu berita yang amat menggembirakan saya dan saya sepatutnya berkongsi kegembiraan ini bersamanya.Sebaliknya, entah kenapa, suatu perasaan aneh, yang tak mampu untuk saya gambarkan perasaan apakah itu, yang menyelubungi diri.Perasaannya, seperti tiba-tiba lidah menjadi kelu.Masa seolah terhenti. Oh. Itu sahaja yang mampu terlintas dibenakku.
Namun, cepat juga saya sedar bahawa saya sepatutnya gembira untuknya.Lalu, cepat-cepat ku ceriakan wajah dan mengorek detail-detail lanjut daripada sahabat saya. Soalan-soalan biasa..siapakah gerangan en.tunangan, bila bertunang, bila kahwin, apa perancangan selepas itu dan sebagainya. Diceritakan juga konflik-konflik dalam dirinya tentang isu baitul muslimnya ini, dan sedaya mungkin saya memberikan nasihat yang terbaik buatnya bagi menghilangkan kegusaran yang menyelubungi dirinya.
Cukup masa, saya perlu kembali ke ofis. Lalu, kami salam dan berpelukkan sebelum masing-masing membawa diri. Sahabat saya pergi berjalan-jalan sebelum pulang, manakala saya pula menapaki escalator untuk kembali ke ofis.Perasaan yang saya ceritakan tadi masih menyelubungi diri.Dan, kerana akrabnya saya dengan sahabat itu, saya yakin sahabat saya itu dapat merasakan kelainan pada saya.Dan saya yakin juga dia tahu kenapa.
Tiba di meja ofis saya, saya duduk menghadap computer.Tak semena-mena, air mata menitis dan hati menjadi sangat sebak. ‘Akak, saya sangat sedih..’, begitu SMS yang saya hantarkan kepada seorang kakak senior yang saya percaya boleh bantu mengubat kesedihan hati saya. Selang seminit dua, telefon saya berdering.Kakak itu menelefon untuk bertanyakan keadaan saya. Namun, kerana terlalu sedih dan saya tahu jika saya hendak ceritakan kepadanya, maka saya memang akan menangis di situ juga, saya katakan kepada kakak itu, saya akan SMS sahaja, sebab tak mampu untuk nak bercakap pada waktu itu.
‘Saya baru dapat tahu, seorang sahabat dah nak kahwin.Saya tahu saya sepatutnya gembira untuk dia, tapi entah kenapa saya rasa sedih sangat. Saya tahu akak mesti suruh saya sabar..saya tahu tu. Tapi nak cerita juga kepada akak, sebab saya tengah sedih ni’. Begitu SMS yang saya hantarkan kepada kakak itu.Air mata terus menitis. Cepat-cepat saya seka, sebelum kelihatan dek rakan-rakan sekerja yang lain. Sudahlah ada meeting selepas ni..macam mana la nak berbincang dalam keadaan hati tengah sedih.. diri bermonolog sendirian.
Selang seminit dua, akak itu menjawab SMS saya.‘ Akak faham perasaan itu. Akak kan antara yang paling lambat dalam batch akak untuk kawin. Dulu, Kak XXX pun lari masuk toilet nangis sebab kawan-kawan dia yang lain semua cerita tentang baitul muslim masing-masing, tapi kak XXX calon pun takde lagi waktu tu’.
Ringkas, namun cukup untuk menghiburkan hati yang sedang lara.Sekurang-kurangnya, saya tahu bukan saya seorang je yang ‘malang’ sebegini, tapi akak-akak yang hebat-hebat ini juga pernah melalui fasa yang sama.Namun, dalam pada waktu yang sama, saya turut mengecam diri sendiri. Terngiang-ngiang dalam fikiran saya hadis Rasulullah yang berbunyi, ‘tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga kamu mencintai untuk saudara kamu apa yang kamu cintai untuk diri kamu sendiri’.Terasa iman sangat lemah, sebab tak mampu nak sejujurnya gembira di atas berita sahabat saya itu.Sahabat yang akrab pulak tu.
Saya tidak menyalahkan sahabat saya itu kerana menceritakan itu kepada saya.Rasanya, andai dia tidak memberitahu, pasti saya lebih sedih. Namun, tidak saya jangkakan perasaan saya akan tersentuh sebegitu sekali. Jelaslah kepada saya, bahawa jiwa saya sudah mula sensitive kepada isu berumah-tangga.Mana tidaknya, umur semakin meningkat, belajar dah habis dan sudah pun bekerja untuk beberapa tahun.Namun, masih belum punya calon.Sebaliknya, rakan-rakan yang masih belajar bertemu jodoh terlebih dahulu. Siapa tidak sedih, kan?
Selepas peristiwa hari itu, saya seperti sudah tiada hati dengan undangan-undangan walimah yang kunjung tiba.Andai dulu, setiap undangan pasti membuatkan saya berasa seronok, dan saya akan mendoakan yang baik-baik buat bakal pengantin. Namun, sejak peristiwa tu, bila tiba jemputan-jemputan walimah, yang muncul di fikiran saya adalah…’whatever…’. Sepertinya malas nak mendengar khabar-khabar gembira orang lain. Lebih seronok menyibukkan diri dengan hal sendiri.
Saya sedar, saya dah sampai tahap sensitive.Tambah lagi di atas rasa sensitive ini, adalah rasa ‘kehilangan kawan’ bila seorang demi seroang rakan-rakan karib saya mendirikan rumah tangga.Terasa seperti diabaikan, terasa seperti tidak lagi dipedulikan.Terasa seperti perlu mencari rakan-rakan baru buat mengganti rakan-rakan lama yang kini sudah tiada masa lagi untuk kita. Malah, siap boleh terfikir, bila tiba masa saya kawin nanti, saya tidak mahu mengkhabarkan pada sahabat-sahabat ni..sebab mereka semua tinggalkan saya bilamana mereka dah bahagia. Parah kan? Namun, inilah hakikat kecamuk perasaan yang saya lalui.Dan dengan hati yang sebegini, saya membawa diri ke sebuah bumi asing.Sendirian berusaha mengubati hati yang kesedihan.
Bayangkan, kalau untuk mendengarkan khabar gembira mereka pun tidak mahu, apatah pula untuk mendoakan kebaikan buat mereka, bukan?Inilah yang membuatkan saya terfikir tentang persoalan yang saya utarakan di awal bicara ini.Bagaimana nak mendoakan kereta orang lain bergerak lancar bilamana kereta kita sendiri rosak. Bagaimana nak mendoakan urusan orang lain dipermudahkan, bilamana urusan kita sendiri menjadi tidak tentu arah? Bagaimana nak mendoakan orang lain bahagia bersama jodoh mereka dalam keadaan kita sedih belum bertemu dengan jodoh kita?
Sekali lagi saya katakan, saya belum bertemu jawapan kepada persoalan ini. Namun, yang saya dapati, saya tidak pula keberatan untuk mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan dan senior-senior lain yang saya tahu juga belum bertemu jodoh dan pasti sedikit sebanyak mempunyai kegusaran yang sama seperti yang saya rasakan. Malah amat murah sekali untuk saya menitipkan doa buat mereka ini.
Di bumi asing ini, saya berusaha mengubati hati yang merajuk ini. Untuk itu, saya berkata kepada diri sendiri, seandainya saya yang bertemu jodoh awal, maka akan ada rakan-rakan saya yang lain yang akan merasa sedih sebegini. Jadi, biarlah rakan-rakan saya yang lain kawin dulu. Biarlah saya sahaja yang menanggung kesedihan ini.Bila semua orang sudah bahagia dengan kehidupan masing-masing, barulah saya pula boleh mencari kebahagiaan saya.
Begini pasti lebih baik, bukan? Mungkin.
No comments:
Post a Comment